Monday, March 14, 2011

Redha dengan Qada' Allah

Pasti ramai yang tahu apa itu qada' dan qadar Allah.

Qada' bererti ketentuan Allah dan Qadar bererti pelaksanaan kepada qada' tersebut.

Rela terhadap ketentuan, kehendak dan kekuasaan Allah adalah WAJIB hukumnya.

Dalam sebuah hadis qudsi dijelaskan bahawa Allah berfirman:



"Barangsiapa yang tidak meredhai qadha-Ku dan tidak bersabar atas bencana yang Aku timpakan atasnya, maka carilah Tuhan selain dari pada-Ku" (HR Thabrani)


Sememangnya perit untuk kita mengharungi pelbagai cabaran di dunia yang fana ini. Namun ingatlah sebenarnya kita sedang diuji oleh Allah. Dunia adalah jambatan ke akhirat. Redha dalam setiap ujian Allah adalah sangat penting agar dapat mengajar diri kita supaya menjadi seorang yang bersabar. Tidak mungkin Allah menjadikan sesuatu itu berlaku pada diri kita tanpa ada sebabnya. Pasti ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.

Jika kehidupan kita adalah sebagai seorang pelajar, pasti banyak cabaran ketika kita di tempat belajar. Dugaan dengan pelajaran, hubungan dengan rakan-rakan dan diuji pula oleh Allah dengan fitrah iaitu rasa suka atau jatuh cinta pada seseorang. Apabila keadaan ini terjadi, kita haruslah bijak memilih jalan yang betul sama ada melayan perasaan tersebut atau dengan segera mendekatkan diri kepada Allah kerana menyedari bahawa kita sedang diuji.

Jika ditakdirkan kita ditimpa musibah, tidak perlulah kita saling menyalahkan dan menyebut 'kalaulah' kerana ianya akan membuka pintu kepada syaitan untuk menghasut kita. Seharusnya kita wajib redha dengan apa yang berlaku kerana yakin pasti ada hikmah di sebaliknya.

"Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak Diuji? Dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta  (dalam keimanannya)" (Surah Al-Ankabut: 2-3)

"Bahawasanya Allah akan mencuba salah seorang kamu dengan sesuatu bencana (bala), sebagaimana seseorang kamu mencuba (menguji) emas dengan api. Maka di antara mereka ada yang keluar seperti emas asli iaitu mereka yang dilindungi dan dipimpin oleh Allah dari perkara syubhat dan ada di antara mereka yang keluar sebagai emas hitam (palsu) iaitu bagi mereka yang mendapat fitnah" (HR Thabrani)

No comments:

Post a Comment