Tuesday, March 22, 2011

Rahsia bangsa Cina berjaya dalam perniagaan


Anda biasa mendengar orang cina berpersatuan bukan? Kemudian rajin juga mendengar cerita kawan-kawan ketika minum air sirap limau yang mengatakan orang cina ada tabung khas untuk membiayai orang mereka membuka perniagaan. Benarkah semua dakwaan ini?

Fakta Kira-Kira Logik

Sebuah perniagaan bukan perihal dua atau tiga ratus ringgit. Bayangkan berapa ramai orang cina yang hidup berniaga. Cukupkah duit tabung ini untuk membantu pembiayaan perniagaan semua orang-orang mereka?
Cina pun orang biasa macam kita. Mereka ada sifat kasih sayang, dengki, tamak dan tolong-menolong. Bezanya cuma bangsa mereka hidup dalam budaya berniaga sejak sekian lama. Itulah yang menjadikan bangsa ini mampu membentuk formula untuk bangsa secara praktikal.
Jadi kalau dikatakan semua orang cina dapat bantuan daripada persatuan untuk berniaga, itu satu tanggapan yang salah. Jadi jangan katakan orang cina boleh maju sebab bangsa mereka menolong segalanya. Hakikatnya ramai daripada mereka berusaha sendiri dan membentuk usahasama dalam kumpulan kecil berdasarkan formula-formula realistik dan praktikal yang dibudayakan.

Strategi Permodalan Dan Kerja Berkumpulan

Sebenarnya orang cina hidup dengan kaedah pengiraan dan perkiraan yang baik. Benar ada perniagaan orang cina yang bergerak dan dibantu dalam kumpulan namun ia bukan berkisar cerita tolong-menolong atas dasar bangsa semata-mata tetapi konsep memanfaatkan kumpulan tertentu serta membentuk organisasi yang praktikal. Anda masih keliru dan tidak faham? Teruskan bacaan ...
Orang cina tahu dalam perniagaan perlu ada modal, pengurus, pekerja dan berbagai lagi skop untuk menjadikan satu usaha itu berjaya. Dengan itu mereka membentuk persefahaman dan kerjasama dengan memanfaatkan individu yang mempunyai kelebihan-kelebihan dalam kumpulan tersebut.
Contohnya seorang yang berduit menjadi pemodal. Seorang yang berpengalaman mengurus dijadikan ketua projek. Seorang yang mahir dalam pemasaran diambil menjadi agen atau pemasar. Kesemua mereka ini dikumpul dan membentuk satu organisasi profesional dan fokus pada skop masing-masing. Sudahnya mereka mengurangkan banyak masalah berbanding sebuah syarikat yang terpaksa menghadapi masalah pekerja. Dalam konsep cina ini, mereka tiada pekerja dan semuanya tauke. Semua akan mendapat keuntungan dengan bekerja lebih kuat. Jadi amat sukar melihat mereka yang malas.

Benarkah Konsep Ini Berfungsi?

Biar saya menunjukkan satu ilustrasi tanpa merujuk kepada kumpulan tertentu. Sila perhatikan betul-betul ilutrasi di bawah
A – pemodal
B - pengurus
C – pemasar

Konsep 1
Katakan sebuah komputer bernilai RM500 dari kilang.
A – Pemodal menjual RM650 kepada pengurus dan untung RM150. Urusan pemodal bermula dari kilang hingga kepada pengurus sahaja.
B – Pengurus mengeluarkan modal yang lebih kecil untuk stor penyimpanan, mengurus stok, mengurus peniaga kecil. Dia menjual kepada pemasar RM 1000 dan beruntung RM350. Urusan pengurus hanya daripada pemodal hingga kepada pemasar sahaja.
C – Pemasar kemudian menjual barangan pada harga RM1800 dan beruntung RM800.
Nota: Dalam konsep ini semua orang mengeluarkan modal.

Konsep 2
Katakan Pemodal mengeluarkan semua modal RM20 juta. Sebuah komputer bernilai RM500 dari kilang.
A – Pemodal menggaji pengurus untuk kerja pengurusan stok dan mengurus peniaga kecil. Pemodal menyewa kedai dan menjemput peniaga datang berniaga tanpa modal. Pemodal menetapkan harga komputer kepada pemasar ialah RM1500. Ia bermaksud, segalanya disediakan oleh pemodal.
B – Pemasar datang bekerja tanpa gaji. Semua barangan dikedai adalah milik pemodal dan pendapatan mereka berdasarkan jualan. Jadi sekiranya dijual komputer pada harga RM1800, maka bagi setiap komputer, mereka beruntung RM300.
Nota Dalam konsep ini hanya pemodal yang mengeluarkan modal.

Bagaimana Ia Dibentuk Dan Membentuk?
Ada beberapa konsep lagi yang digunapakai untuk perniagaan yang serupa di atas melibatkan pemodal, pengurus dan pemasar. Secara amnya ia banyak merujuk kepada 'win win situation'. Pucuk pangkal disini semua orang memahami keadaan diri masing-masing untuk berada dan mmebuat perjanjian yang terbaik. Dua perkara asas yang dilihat disini bagi setiap mereka dalam membuat perjanjian;
1. Mempunyai wang
2. Mempunyai tenaga dan kemahiran
Sekiranya seseorang mempunyai wang dan tenaga, maka lebih keuntungan yang diperoleh. Sekiranya tiada wang sebagai modal tetapi mempunyai tenaga, maka keuntungan itu lebih sedikit. Orang cina mempunyai kefahaman yang jelas tentang perkara ini. Ia menjadi kayu pengukur yang jelas untuk tidak membuang masa dan memudahkan pembentukan kumpulan.
Konsep Guan Xi
Ini adalah idea yang paling utama dalam budaya cina dan dibawa kedalam perniagaan. Guan Xi secara bahasa bermaksud perhubungan. Didalam perniagaan ia merujuk kepada hubungan dan perhubungan.
Dalam konsep Guanxi, perlunya ada hubungan dan tidak boleh bergerak seorang diri. Ini adalah perkara yang realistik. Tidak akan mungkin seorang peniaga itu hidup atau memonopoli perniagaan seorang diri. Sekiranya mereka berbuat demikian, maka peniaga lain itu tidak lain dan tidak bukan telah menjadi musuh. Membentuk hubungan adalah satu perkara mulia dan praktikal dalam perniagaan. Ia tidak semestinya satu hubungan perniagaan tetapi membentuk hubungan yang baik contohnya seperti Gei Mian Zi atau memberi muka.
Perhubungan pula banyak merujuk kepada hubungan perniagaan. Sekiranya perlu dan boleh, maka perhubungan ini adalah lebih baik diwujudkan.
Oleh yang demikian, hubungan bermaksud hubungan sesama manusia, manakala perhubungan ialah hubungan perniagaan. Guanxi menjadi budaya orang cina yang bukan sahaja diamalkan dalam perniagaan tetapi jua dalam kehidupan. Cuma didalam perniagaan, ia menjadikan perniagaan orang cina seluruh dunia amat unik khususnya dalam pembentukan kumpulan perniagaan.
Kesimpulannya, bekerjasama dan memperkayakan usaha secara berkumpulan merupakan satu rahsia utama kejayaan orang cina sejak zaman-berzaman.

Biodata Kolumnis

Haniff Abdul Hamid adalah seorang pengamal OSH, penceramah motivasi bebas, usahawan dan penulis bebas. Beliau menghabiskan banyak masa dalam beberapa tahun yang sudah bekerja di dalam industri tenaga, minyak dan gas di Timur Tengah, Asia Barat dan Asean. Beliau mula menulis tentang politik, kerjaya, perniagaan, agama dan kehidupan secara kritis mengenai banyak isu sejak 2005. Kini menulis buku dan di laman web peribadi

No comments:

Post a Comment