Thursday, March 3, 2011

Hanya kerana Susu

 Sumber : http://www.facebook.com/notes/layarminda/kisah-segelas-susu-yang-penuh-pengajaran/184198958287910

by Solehi Aljerusi

Sudah beberapa jam si pengembara berjalan kaki memerhatikan pemandangan indah musim bunga di kawasan perkampungan itu. Bunga-bungaan sedang mekar, unggas dan serangga yang berterbangan ke sana dan serata halaman rumah yang cantik dihiasi kuntuman bunga amat menarik perhatian pengembara muda itu.

Tetapi perjalanan yang jauh dan matahari yang sedang terik menyebabkan pemuda yang cintakan keindahan alam itu mula berasa letih. Tekaknya kering, sedangkan pengembaraannya masih panjang lagi.

Lantas pemuda itu memutuskan untuk pergi ke sebuah rumah kecil di sebuah ladang di tepi jalan yang sedang disusurinya itu. Seorang budak perempuan membuka pintu rumah yang diketuknya tadi. Wajahnya comel.

Pemuda itu menceritakan yang dirinya kehausan, dia berharap budak perempuan itu dapat memberikannya segelas air. Budak perempuan itu bergegas ke dapur dan sebentar kemudian kembali mendapatkan pemuda tersebut.

Dia bukan membawa segelas air, sebaliknya segelas susu kerana dia tahu pemuda tersebut bukan sekadar dahaga tetapi juga memerlukan tenaga untuk meneruskan pengembaraannya.

“Berapa harga susu ini?” tanya pemuda itu selepas menghabiskan susu tersebut.


Jawab budak perempuan itu, “Oh, percuma! Tak perlu bayar. Emak dan ayah telah mengajar saya supaya jangan meminta sebarang balasan terhadap apa juga kebaikan yang kita lakukan”


Pengembara muda itu tersentuh hati dengan jawapan tersebut. “Kalau begitu, saya hanya dapat mengucapkan terima kasih sahaja,”kata pemuda tersebut, disambut oleh budak perempuan itu dengan senyuman dan anggukan.

Sifat mulia budak perempuan itu memberikan kesan yang mendalam kepada pemuda yang berkenaan. Kejujuran budak itu dan keengganannya menerima sebarang bayaran, walaupun dirinya sendiri miskin, sering saja bermain dalam fikiran pemuda tersebut.
Tahun berganti, budak perempuan itu yang kini berusia 20-an, diserang penyakit kronik. Dia dihantar ke sebuah hospital terkenal di tengah kota untuk diperiksa oleh doktor pakar dan seterusnya menjalani pembedahan. Seorang doktor dipanggil.

Sejurus melihat wajah gadis itu dan alamat tempat tinggalnya, doktor itu segera terkenang saat dia meneguk segelas susu suatu ketika dahulu. Tidak lain tidak bukan, inilah budak perempuan yang pernah memberinya segelas susu dan kemudiannya berkata,” Emak dan ayah telah mengajar saya supaya jangan meminta sebarang balasan terhadap apa juga kebaikan yang kita lakukan,”

Kini masanya untuk membalas jasa. Doktor itu melakukan segala yang terdaya untuk menyelamatkan gadis tersebut. Si gadis ditempatkan di wad untuk beberapa lama. Pembedahan dilakukan dan penyakit si gadis berjaya diubati.

Kini bayaran perlu dikenakan kepadanya. Bil rawatan ditunjukkan kepada doktor itu untuk pengesahan. Doktor tersebut menyelaknya sehelai demi sehelai. Dia memerhatikan setiap angka yang tercatat pada bil tersebut, kemudian menulis sesuatu di bucu helaian terakhirnya. Setelah itu dia menurunkan tandatangannya. Bil itu dihantar ke alamat yang tertera, iaitu sebuah rumah kecil di pinggir ladang.

Gadis tersebut menggeletar sebaik menerima bil tersebut. Helaian demi helaian dibeleknya, ternyata jumlahnya terlalu besar. Dia tidak mampu membayarnya. Walau si gadis bekerja sepanjang hayat sekalipun, belum tentu dia dapat membayar bil yang dikenakan itu.

Jumlah-jumlah yang menakutkan terus terpapar, hinggalah ke helaian terakhir apabila si gadis membaca satu catatan ringkas di bucunya. Tulisan itu berbunyi…

“Sudah DiBayar Dengan SeGelas Susu.”

-Dr Howard Kelly-

No comments:

Post a Comment